LATAR BELAKANG PUSAT SUMBER KVPC

by - July 01, 2019






Pengurusan Pusat Sumber Kolej Vokasional Pengkalan Chepa merupakan suatu sistem proses pengurusan yang memberi tumpuan kepada penyediaan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan sumber. Dalam konteks ini Pusat Sumber bertindak sebagai pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan, sekaligus memperkasakan kualiti modal insan warga kolej ini.

Bagi menjamin tanggungjawab teras ini dapat dilaksanakan, pihak pengurusan Pusat Sumber berperanan secara aktif dalam mengurus sumber seperti guru-guru, kakitangan, pelajar, harta modal dan bahan-bahan maklumat dan teknologi melalui prosedur dan tindakan yang terancang. Pengurusan Pusat Sumber yang cekap dan sistematik dapat memberi impak perkhidmatan yang efektif kepada semua pengguna yang terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan termasuk lain-lain ‘stake holders’.

Pusat Sumber Kolej Vokasional Pengkalan Chepa bermula dengan sebuah bilik bacaan induk dan sebuah bilik APD sahaja. Bilik bacaan induk tersebut hanya berkeluasan dua buah bilik darjah dan mampu menampung seramai 80 orang pelajar. Sementara bilik APD pula hanya mempunyai keluasan sebuah bilik darjah dengan kapasiti 40 orang pelajar.

Bermula pada tahun 2005, unit Pusat Sumber  mula ditambah iaitu Bilik SAL dan bilik Akses, Manakala bilik makmal Komputer mula beroperasi pada tahun 2009. Sementara unit Galeri dan Papan Kenyataan baru beroperasi pada tahun 2010.

Pelbagai kemudahan untuk pemerolehan maklumat disediakan di Pusat Sumber induk dan koridor-koridornya. Selain dari bahan cetak konvensional, Pusat Sumber turut dilengkapi dengan kemudahan ICT. Untuk memudahkan pengurusan dan pengendaliannya, Pusat Sumber induk dihubungkan dengan rangkaian computer secara ‘local area network’ ( LAN ) dengan koridor-koridornya. Dengan adanya kemudahan tersebut, capaian internet boleh dibuat di seluruh kawasan sekolah. Sementara itu, sistem pengautomasian pula telah diguna pakai di sekolah ini mulai tahun 2009.

Penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang berkesan telah menjadikan Pusat Sumber Kolej Vokasional Pengkalan Chepa sebuah Pusat Sumber yang cemerlang dan seterusnya menjadi “ bench mark” kepada sekolah-sekolah sekitarnya.

Kecemerlangan Pusat Sumber Kolej Vokasional Pengkalan Chepa bukan hanya terletak pada pengurusan yang mantap dan berkesan, malah turut didokong oleh kemudahan prasarana yang lengkap dan ceria serta suasana yang kondusif sebagai pemangkin iklim pembelajaran yang berkesan. Selain menerima peruntukan daripada kerajaan, kemudahan fizikal Pusat Sumber Kolej Vokasional turut dipertingkatkan melalui jaringan komuniti seperti ibu bapa, PIBG, syarikat-syarikat perniagaan dan pihak NGO.

You May Also Like

0 comments